Rabu, 11 Mei 2011

Bida'ah Dalam Agama - Dr Ysufu Qardhawy

 Penulis: Dr Yusuf Qardhawy dan Muhammad Al-Ghazali.


BID’AH DALAM AGAMA
Barangsiapa beranggapan bahawa agama Islam ini masih kurang sempurna dan memerlukan tambahan-tambahan demi kemaslahatan diri dan golongan jelas menunjukkan kejahilan mereka sendiri.

Mereka yang menambah-nambah dalam urusan agama ini adalah tukang-tukang bid’ah. Tukang-tukang bid’ah ini kelak akan menanggung dosanya dan dosa para pengikutnya yang tertipu dan tersesat.

Imam Malik Bin Anas berkata,“Barangsiapa menganggap baik perbuatan bid’ah, sama dengan menuduh Nabi Muhammad telah mengkhianati risalahnya”.

Imam Syafi’ berkata : Andai kata aku mengetahui ahli bida’h itu dapat berjalan di angkasa, aku tetap tidak akan menerimanya.

Para ulama mendefinisikan bid’ah ialah satu cara ibadah yang direka orang yang menyerupai syarak (agama); yang dimaksud dengan ‘cara’ di sini ialah sebagaimana yang dilakukan oleh syarak dengan tujuan untuk mengabdi kepada Allah dengan berlebih-lebihan.

Orang yang membuat cara baru dalam bentuk apa pun yang disandarkan pada agama (ibadah), dapat dicop sebagai penipu agama. Mereka mengkhayalkan kebatilannya itu untuk dilihatkan kepada orang lain sebagai sesuatu yang benar (haq) . Mereka gemar membuat sesuatu perkara yang nampaknya seolah-olah agama tetapi pada hakikatnya menyimpang dari tuntutan agama.

Sabda Nabi yang bermaksud :

“Barangsiapa mengada-ada cara baru tentang urusan kami (ibadah) ini, padahal tidak bersumber darinya, dia itu tertolak”. (Hadis Riwayat Muslim)

“Barangsiapa beramal satu amalan (ibadah) yang tidak ada contoh dari kami, ia tertolak” (Hadis Riwayat Muslim)

Bila bid’ah bermaharajalela ianya merupakan kesempatan bagi musuh-musuh Islam untuk menghancurkan Islam. Dengan tersebar luasnya perbuatan dan amalan bid’ah di kalangan pemeluk-pemeluk Islam yang jahil, orang ramai akan menyangka amalan bid’ah itu adalah dari agama Allah yang murni. Akibatnya yang murni menjadi kabur dan rosak.

Ada yang berpendapat bahawa untuk melumpuhkan kemajuan Islam, harus dibesar-besarkan bid’ah dan khurafat, kerana kedua hal ini merupakan penghalang bagi cepatnya perkembangan Islam.

Mengapa bid’ah dapat melumpuhkan potensi Islam dan dapat menghancurkan pemerintahan? Sebabnya bid’ah merupakan tipuan yang tak ubahnya dengan tipuan dalam perdagangan. Barang yang baik dicampur dengan barang yang buruk yang kemudiannya dibawa ke pasar untukditawarkan kepada orang ramai seraya dikatakan bahawa barang tersebut adalah baik, tidak cacat dan tidak ada aib sedikit pun.

Sedangkan dalam hal ibadah, kitawajib berittiba’ (mengikut sepenuhnya tanpa pindaan) kerana itu adalah asas dalam agama. Jadi mereka model-model dan cara-cara baru dalam ibadah adalah bid’ah yang sesat dan terkutuk.

Apabila sesuatu perkara bid’ah itu dihubungkan dengan agama, misalnya minta upah kerana membaca Al Quran ketika menghantarkan mayat dengan maksud bertaqarrub kepada Allah, perkara seperti itu merupakan perbuatan dosa dan maksiat yang berlipat ganda.

Manakala dalam urusan muamalah, dasarnya pula ialah mengikuti perkembangan kemaslahatan umat.

Firman Allah swt :

Lebih kurang ertinya :
“…..dan berbuat baiklah kamu sekelian agar kamu memperolehi kejayaan.” (Al-Haj ayat 77)

Lebih kurang ertinya :
“...... dan bertolong-tolonglah kamu sekalian untuk kebaikan dan ketakwaan”. (Al-Maidah ayat 2)

Berbuat baik dan tolong menolong untuk kebaikan dan bertakwa adalah soal-soal yang pelaksanaannya diserahkan penuh kepada kita, sehingga kita bebas membuat cara-cara baru. Cara-cara baru tersebut tidak boleh disalahkan dan ditolak.

Allah swt berfirman :

Maksudnya lebih kurang :
“ Wahai orang-orang yang beriman! Ingatlah kepada Allah dengan sungguh-sungguh ingat yang banyak dan bertasbihlah kepada Allah di waktu pagi dan petang”. (Al Ahzab ayat 41-42)

Perintah memperbanyak zikir dan bertasbih seperti tersebut di atas, bukanlah bererti memberi kebebasan kepada setiap orang untuk menambah rakaat sembahyang, azan dan sembahyang hari raya atau menyusun wirid yang kemudian ditetapkan untuk selalu dibaca dalam waktu-waktu tertentu.

Ibadah-ibadah ini pokok persoalannya adalah masalah akhirat. Sedangkan masalah akhirat itu ghaib bagi manusia.

Kerana itu, biar bagaimana pun tingginya kedudukan seseorang, mereka tidak mempunyai hak dan kebebasan untuk menambah cara-cara baru. Sedangkan dalam masalah keduniaan, tidak ada satu pun halangan untuk melaksanakan satu perintah dengan berbagai macam cara, baikcara-cara itu sudah pernah dipakai oleh orang-orang dahulu mahu pun belum. Misalnya tentang menjaga hak dan harta orang lain serta mengatur kemaslahatan umat, kesemuanya itu merupakan maksud yang menjadi matlamat syariat Islam.

Bid’ah yang diharamkan oleh syarak berkisar pada masalah ubudiyah yang sama sekali tidak dapat diagak-agak atau diijtihadkan.
Orang yang mengerjakan satu perbuatan (ibadah) yang tidak pernah dicontohkan oleh Nabi s.a.w. , sama seperti meninggalkan perintahnya.

Apabila sudah pasti bahawa Rasulullah saw tidak pernah mengerjakannya, kita wajib meninggalkannya sekalipun larangannya tidak ada. Dan kalau kita kerjakan, itu termasuk bidaah.

Sebagai contoh , amalan ta’ziyah (bela sungkawa) terhadap orang yang meninggal dunia dengan membaca Al Quran dan berkumpul dengan makan-makan bersama.

Mencari rahmat dan pahala memang sudah ada sejak dahulu, tetapi cara tersebut tidak pernah terjadi pada masa Rasulullah s.a.w. dan para sahabatnya. Padahal, waktu itu sudah ramai orang yang mati dan sahabat-sahabat r.a. pun adalah di kalangan mereka yang sentiasa mencari rahmat. Waktu itu tidak ada seorang pun yang mendirikan khemah kemudian diadakan pembacaan Al Quran dan berkabung berganti-ganti.

Tradisi ini jelas hukumnya bid’ahdan agama tidak membenarkannya kerana Rasulullah s.a.w. tidak pernah mengerjakannya, walaupun larangannya pun tidak ada. Jika tradisi itu kita biarkan, kita setujui dengan alasan mencari keredaan Allah dan untuk menghantarkan orang yang pergi (mayat) supaya mendapat kasih dan rahmat Allah swt, kita sebenarnya berburuk sangka (su’u zhon) terhadap peribadi Rasulullah s.a.w. dan sahabat-sahabatnya.

Nauzubillahimin zalik!

Bid’ah Haqiqi
Bid’ah Haqiqi misalnya tawaf dikuburan orang yang sudah meninggal dunia seperti tawaf di Baitullah. Contoh lain misalnya membujang seperti pendeta dengan menganggap dirinya suci.

Bid’ah semacam ini tidak banyak terdapat di kalangan masyarakat.


Bidaah Idafi

Bid’ah idafi ialah masalah-masalah yang dapat ditinjau dari berbagai segi; dari satu sudut boleh menjadi sunnah tapi dari sudut lain boleh menjadi bid’ah.

Jika dilihat dari satu sudut, kitaakan menjumpai bahawa masalah tersebut berlandaskan kaedah yang baik dan nas yang jelas. Tetapi jika dilihat dari sudut lain, kita dapati unsur-unsur bid’ah yang jelas. Contohnya, membaca tasbih (subhanallah), tahmid (alhamdulillah) dantakbir (Allahu Akbar) sesudah solat. Kesemuanya itu merupakan sunnah dan seluruh ulama sudah menyepakatinya. Tidak satu pun di antara mereka yang menentangnya kerana memang ada dalil-dalil dari beberapa hadis sahih. Bahkan Rasulullah s.a.w. dan para sahabatnya selalu berbuat demikian. Namun mereka melakukannya dengan sendiri-sendiri dan dengan sirri (tersembunyi).

Kemudian ada orang yang sengaja menyusun wirid dan zikir, dan ada seorang yang bertindak sebagai pemimpin dan kemudian orang ramai dikumpulkan untuk mengikuti bacaannya.

Cara-cara tersebut dijadikan kebiasaan setiap selesai solat dengan irama yang dibuat-buat. Orang ramai kemudian mengikutinya dan disambutnya dengan bacaan amin.

Bertasbih, tahmid dan takbir setelah solat adalah sunnah tetapi cara yang dibuat-buat inilah yang termasuk bid’ah. Mereka sudah mengetahui bahawa asas yang digunapakai dalam amalannya adalah hadis yang datang dari Rasulullah s.a.w. Tetapi, anehnya, mereka beranggapan bahawa cara semacam itu ( berzikir secara beramai-ramai dengan suara yang kuat) sebagai salah satu langkah untuk menegakkan sunnah Rasulullah s.a.w.

Contoh bidaah Idafi yang lain adalah seperti membaca selawat sebelum azan sehingga orang awam mengira bahawa bacaan tersebut merupakan sebahagian daripada azan. Padahal yang sebenarnya kalimat-kalimat azan itu adalah terpelihara dan sudah menjadi ketetapan syarak.

Cara-cara seperti inilah yang dapat digolongkan bidaah Idafi. Namun anehnya, para mu’azin sebaliknya merasa selesadan gembira menggunakan cara tersebut untuk memanggil orang beribadah kepada Allah. Dengan demikian, status azan yang tadinya sunnah berubah menjadi bid’ahdan sia-sia.

Dari sekian contoh di atas dapat disimpulkan bahawa bid’ah Idafi itu umumnya berupa amalan-amalan yang diambil dari ajaran agama, tetapi diamalkan dengan cara yang keluar dari batas yang telah ditentukan oleh agama itu sendiri. Ajaran-ajaran agama itu tak ubahnya seperti anggota tubuh yang lengkap dengan pancaindera dan perhiasannya. Jika kaki pindah ke tempat tangan dan telinga pindah ke tempat hidung atau sebaliknya, nescaya amatlah janggal dan hodoh, walaupun pemindahan itu tidak mengambil anggota lain di luar tubuh.

Contoh seterusnya ialah mengadakan solat khusus bulan Rejab dan Syaaban dengan maksud tertentu. Malangnya, ada sebahagian ulama yang beranggapan amalan tersebut dibolehkan dengan alasan memandang prinsip bahawa sembahyang bukanlah perbuatan mungkar.

Khusus dalam masalah sembahyang ini, Imam Nawawi pernah berkata, “Bahawa kedua macam sembahyang tersebut adalah mungkar”.

Begitu juga, membaca Al Quran dan zikir di hadapan jenazah dengan suara keras, termasuk bid’ah Idafi. Tentang membaca Al Quran dan zikir itu sendiri memang sudah jelas ada dalam Islam,tetapi bukan dengan cara demikian.

Puasa pada tanggal 27 Rejab(dikatakan tarikh Isra’ Mi’raj) dan 15 Syaaban (nisfu Syaaban) termasuk bidah Idafi. Prinsip puasa memang ibadah yang dibenarkan, tetapi dengan mengkhususkan padahari-hari tersebut hukumnya bid’ah.

Dengan demikian, jelaslah bahawa orang yang mengerjakan bid’ah itu bererti mencampuradukkan amalan soleh dengan yang batil, sekalipun untuk tujuan yang baik.

Amalan-amalan sebagaimana disebutkan tadi itu tidak lain kerana kebodohan mereka tentang sunnah dan kerana berfikiran jumud (sempit) ; tidak mahu menilai dan mengkaji ajaran yang dibawa oleh orang-orang jahil.

Harapan kami semoga dengan memahami kejanggalan amalan-amalan tersebut, sedikit sebanyak dapat memberikan semangat untuk mereka mempelajari hakikat ajaran Islam yang sebenarnya.

Kami berharap, dalam membanteras seluruh macam bid’ah itu hendaknya dilakukan dengan beransur-ansur dan dengan sikap lemah lembut serta memberikan penjelasan yang berhikmah kepada merekayang mengamalkannya. Hal ini dilakukan untuk menjaga dari segala macam kekaburan yang selama ini menyelubunginya, juga untuk menjaga agar jangan sampai nasihat-nasihat yang demikian baik itu bertukar menjadi fitnah yang menyerang pula soal-soal yang tidak ada kaitannya.

0 komentar:

Posting Komentar

Silahkan Tinggalkan Komentar Anda,Kritik Dan Saranya Sangat Ber Arti

◄ Posting Baru Posting Lama ►
 

Copyright © 2012. MAHKOTA CAHAYA - All Rights Reserved B-Seo Versi 4 by Blog Bamz