Minggu, 08 Mei 2011

Mandailing, Batak atau Bukan?

GERAKAN KRISTIAN MELABEL MANDAILING SEBAGAI BATAK
Sejak 1821 lagi kerajaan Belanda cuba mengkristiankan orang-orang Mandailing yang pada masa itu baru sahaja memeluk agama Islam di hujung pedang pada 1816. Namun perjuangan Jihad Padri telah menghalang orang-orang Mandailing daripada terus terdedah kepada kegiatan kumpulan-kumpulan pendakwah Kristian yang didokong oleh kerajaan Belanda.
Percubaan demi percubaan yang dilakukan oleh penjajah Belanda untuk mengkristiankan orang-orang Mandailing telah mengalami kegagalan. Pihak Belanda yang didalangi oleh badan-badan pendakwah agama Kristian jugagagal memaksa orang-orang Mandailing memeluk agama Kristian secara fizikal seperti yang pernah dilakukan oleh angkatan Jihad Padri semasa menyebarkan ajaran Islam pada 1816. 

Kegagalan pihak Belanda ini telah memaksa badan-badan pendakwah agama Kristian untuk menggunakan strategi baru dalam menyebarkan agama Kristian. Lantaran itu pada awal kurun ke 20 badan-badan pendakwah agama Kristian di Belanda telah melancarkan 2 strategi untuk menarik orang-orang Mandailing kepada agama Kristian;
a.      memesongkan sejarah antropologi orang-orang Mandailing supaya mereka merasa tidak asing dari sejarah dan kebudayaan Batak yang menjadi tulang belakang gerakan Kristian di Tanah Besar Sumatera khususnya di dalam Konspirasi Batak Mananggoring
b.      menjadikan orang-orang Islam khasnya orang-orang Mandailing lemah dari segi penguasaan ekonomi supaya badan-badan pendakwah Kristian masuk daun dengan memberikan bantuan secara sistematik dan sekaligus menarik perhatian mereka terhadap kebaikan badan-badan pendakwah Kristian ini dengan menggunakan konsep yang sama dengan Polisi Pecah dan Perintah oleh Inggeris di Tanah Melayu (Divide and Rule Policy)

Pada kurun ke 19 yang lalu, apabila kebanyakan dari orang-orang Batak memeluk agama Kristian dari Belanda, peranan orang Batak di Nusantara Melayu diangkat semula oleh penjajah Belanda selepas Perang Jihad Padri bagi membatasi peranan orang-orang Minangkabau dan orang-orang Mandailing yang telah berusaha menegakkan agama Islam di Tanah Besar Sumatera. Kedatangan pendakwah-pendakwah Kristian ke Tanah Batak telah mengubah keadaan hidup masyarakat Batak yang tidak mempunyai kepercayaan teguh kepada mana-mana agama besar di dunia pada masa itu. Ramailah di antara mereka memeluk agama Kristian.

‘Before the arrival of the Europeans, cannibalism was quite common among the Bataks.’ (74) – Schnitger 1939.

Apabila mereka memeluk agama Kristian, pihak Belanda telah membawa orang-orang Batak ke alam pendidikan, penulisan, pengiraan dan pembacaan. Ini ialah kerana pihak Belanda memerlukan tenaga kerja sebagai perantaraan antara Belanda dan masyarakat peribumi Indonesia. Lalu orang-orang Batak yang beragama Kristian telah diberi kedudukan istimewa dalam pentadbiran kerajaan Belanda di Indonesia.

Walaupun mereka memeluk agama Kristian, orang-orang Batak tetap berpegang teguh kepada adat-resam dan budaya mereka. Oleh kerana itulah adat-resam, budaya hidup, kesenian, tulisan dan bahasa Batak masih dapat bertahan dan ditonjolkan hingga ke hari ini.

Lama-kelamaan ramai di antara mereka menguasai sebahagian besar teraju pimpinan negara lalu menjadikan bangsa Batak itu terkenal. Atas dasar inilah bangsa Batak menjadi satu bangsa yang kukuh dan dominan di Tanah Besar Sumatera dan menenggelamkan bangsa Mandailing yang pada satu ketika merupakan bangsa yang sangat maju dan bertamadun tinggi di Nusantara Melayu.

Orang-orang Mandailing yang memeluk Islam sewaktu gerakan Jihad Padri telah menjadi golongan fanatik agama yang menentang setiap pembaharuan yang dibawa oleh Belanda. Tambahan pula pada masa yang sama kerajaan Belanda sememangnya mahu melenyapkan pengaruh Islam dan keagungan bangsa Mandailing. Ini disebabkan dendam kesumat yang tidak berkesudahan ke atas angkatan perang Jihad Padri yang majoritinya dianggotai oleh orang-orang Mandailing, Rawa dan Minangkabau. Selepas Perang Padri, orang-orang Mandailing telah banyak membuang adat-istiadat dan adat resam yang tidak sesuai dengan agama Islam. Lama-kelamaan orang-orang Mandailing mulai kehilangan identiti bangsa, adat-resam, budaya, tulisan dan pertuturan mereka.

Akibatnya kumpulan-kumpulan pendakwah Kristian dan kerajaan Belanda pada masa itu mengambil kesempatan untuk memperkenalkan Batak sebagai nenek-moyang orang-orang Mandailing ke seluruh dunia dan orang-orang Mandailing pula diistiharkan sebagai Batak Mandailing yang berasal dari bangsa Batak. Ini dilakukan dengan harapan generasi akan datang orang-orang Mandailing akan merasa tidak asing dengan sejarah dan kebudayaan orang-orang Batak dan terpaksa merujuk kepada orang-orang Batak semasa mencari identiti mereka dan sekaligus ini akan merangsang generasi muda orang-orang Mandailing itu untuk mengkaji agama Kristian sebagai agama pilihan asal nenek-moyang mereka. Cara yang digunakan Belanda ini adalah sama dengan Polisi Pecah dan Perintah yang dilakukan oleh British di Tanah Melayu. Justeru itu adalah menjadi tanggungjawab setiap generasi Mandailing untuk bangkit dan menafikan Gerakan Batak Mananggoring ini.

Permasalahan di antara Mandailing dan Batak telah lama wujud sejak tahun 1920an lagi sehingga hampir mencetuskan ketegangan etnik kerana wujudnya satu operasi dan usaha yang sistematik untuk membatakkan Mandailing. Semuanya bermula apabila orang-orang Batak dengan kerjasama pendakwh-pendakwah Kristian melancarkan Gerakan Batak Mananggoring.

 GERAKAN BATAK MANANGGORING 1922

Pada 16 Ogos 1922 di Kampung Kayu Laut di Padang Lawas, Tanah Besar Sumatera, seorang Batak yang mendakwa dirinya sebagai Batak Mandailing (Batak yang telah lama tinggal dan menetap di Tanah Mandailing dan berasimilasi dengan orang-orang Mandailing) yang bernama Todung Gunung Mulia yang menjadi kepala Sekolah H.I.S di Kota Nopan telah bersepakat dengan seorang kolonel tentera Belanda dari Sibolga mengatur rancangan rapi untuk membatakkan Mandailing itu dan sekaligus membuka peluang kepada kumpulan-kumpulan pendakwah Kristian dan kerajaan Belanda untuk melenyapkan identiti bangsa, jati diri bangsa, adat-resam, budaya hidup, tulisan dan pertuturan orang-orang Mandailing.

Gerakan ini telah dinamakan sebagai Gerakan Batak Mananggoring dan ianya didalangi oleh badan-badan pendakwah Kristian pada masa itu yang dikehendaki untuk menghantar satu laporan mengenai perkembangan agama Kristian di kalangan masyarakat Mandailing ke Vatican City di Itali. Dengan memasukkan orang-orang Mandailing di kalangan orang-orang Batak, maka tidak timbul isu peratusan penganut agama Kristian yang rendah di kalangan orang-orang Mandailing.

Ini sekaligus memaksa generasi orang-orang Mandailing yang akan datang merasa tidak asing dengan sejarah dan kebudayaan orang-orang Batak serta merujuk kepada orang-orang Batak semasa dalam usaha mencari identiti dan jati diri mereka dan sekaligus ini akan merangsang generasi baru orang-orang Mandailing itu untuk mengkaji agama Kristian sebagai agama pilihan asal nenek-moyang mereka. (118-120) – Mhd.Arbain Lubis.

Atas usaha Todung Gunung Mulia dan kolonel tentera Belanda ini, 14 Kepala-Kepala Kuria Mandailing yang merupakan keturunan-keturunan raja-raja Mandailing telah didesak dan dipaksa untuk menandatangani pengistiharan di Kayu Laut bahawa Mandailing itu adalah salah satu ‘luhak’ atau daerah kecil dari wilayah bangsa Batak.

Oleh kerana Kepala-Kepala Kuria tersebut merupakan pemerintah yang dilantik atas ehsan Belanda, maka mereka terpaksa akur bagi menjaga kepentingan masing-masing walaupun ia merupakan fitnah dan penipuan terbesar di dalam sejarah antropologi dunia.

‘In Sumatra the smallest administrative unit above the village was the kuria, often composed of a mother-child village complex. The head of the kuria was an indigenous raja who had dual role of head under customary lawa and officer of the Dutch administration.’ (149) – Donald Tugby.

Jika benar Mandailing itu Batak, mengapakan perlu Todung Gunung Mulia dan kolonel tentera Belanda ini memaksa 14 orang Kepala-Kepala Kuria Mandailing yang merupakan keturunan dari raja-raja Mandailing untuk menandatangani pengistiharan di Kayu Laut bahawa Mandailing itu adalah salah satu ‘luhak’ atau daerah kecil dari wilayah bangsa Batak?

Ini ialah kerana Todung Gunung Mulia dan kolonel tentera Belanda itu sendiri tahu bahawa Mandailing itu bukan Batak dan untuk menjadikan Mandailing itu Batak, mereka perlu memaksa 14 orang Kepala-Kepala Kuria Mandailing untuk menandatangani pengistiharan di Kayu Laut itu.

Jelas strategi Gerakan Batak Mananggoring ialah mencuba melakukan fitnah besar dan penipuan licik yang memesongkan sejarah sebenar antropologi dunia.

‘If you lie to the people often enough, and if the lies were big enough, the people would eventually believe the lies.’ - Adolf Hitler.

Syukur ke hadrat Allah s.w.t. yang mewujudkan pembela-pembela agamaNya di kalangan masyarakat Mandailing. Peristiwa Batak Mananggoring di Kampung Kayu Laut itu telah menimbulkan perasaan marah dan sakit hati masyarakat Mandailing terhadap fitnah dan penipuan paling besar di dalam sejarah antropologi dunia.

Orang-orang Mandailing telah bersepakat di bawah satu panji iaitu persatuan Syarikat Mandailing yang ditubuhkan pada 31 Dis 1921 telah mengemukakan bantahan secara besar-besaran kepada Governor General of Batavia di Jakarta (Batavia).

Oleh kerana pengistiharan Batak Mananggoring itu telah ditandatangan dan disahkan oleh Governor General of Batavia sebelum ini, maka Governor General of Batavia mengambil keputusan untuk membawa perkara itu untuk diadili secara adil dan saksama di Mahkamah Tertinggi Folks Road Batavia. Sebarang kesilapan dalam membuat keputusan tersebut boleh mencetuskan rusuhan kaum.

Kerajaan Belanda pada masa itu merasa begitu serba salah. Jika mereka berkeras atas fakta palsu dengan membela Batak, maka satu rusuhan kaum akan berlaku. Jika mereka berkata benar dan memihak kepada orang-orang Mandailing, orang-orang Batak mungkin tidak akan menerima agama Kristian sebagai agama utama mereka dan kembali kepada agama animisme. Manakala pendakwah-pendakwah Kristian telah pun melobi habis-habisan agar susah-payah usaha kegiatan dakwah mereka kepada orang-orang Batak tidak menjadi sia-sia.

Lantaran itu berlakulah pertarungan di antara Mandailing dan Batak di muka pengadilan Mahkamah Tertinggi Folks Road Batavia pada tahun 1922. Bagi tujuan perbicaraan tersebut, kerajaan Belanda terpaksa memanggil seorang pakar antropologi yang mengetahui sejarah semua suku bangsa di Indonesia yang bernama H. Van Wageningen.

H. Van Wageningen menyatakan dengan jelas dan tegas bahawa Mandailing itu sama sekali tidak sama serta bukan sebahagian dari Batak. Mandailing mempunyai wilayah bangsanya yang sangat luas dan bukan dari ‘luhak’ atau daerah kecil serta mempunyai identitinya tersendiri.

H. Van Wageningen dan Majlis Sidang 14 Kepala-Kepala menjelaskan bahawa Mandailing itu hanyalah terdiri daripada 9 buah marga sahaja dan tidak lebih dari itu;
a.Nasution
b.Lubis
c.Pulungan
d.Batu Bara (bukan Batu Bahara Lima Luhak dari Sumatera Timur)
e.Rangkuti
f.  Dauley
g.Parinduri
h.Dalimunti
i. Matondang

Akhirnya selepas 4 tahun anak-anak Mandailing bertarung sengit berjuang demi maruah bangsa dan masa depan agamanya, maka pada tahun 1926 Mahkamah Tertinggi Folks Road Batavia memutuskan bahawa maka Mandailing menang dalam perbicaraan itu dan Mandailing itu bukan sebahagian daripada Batak ataupun wilayahnya. Mandailing tetap Mandailing. Batak tetap Batak.

Justeru itu mana-mana golongan Mandailing di Nusantara Melayu yang memberikan nama marganya yang berbeza dari 9 marga asal di atas, maka mereka bukanlah kaum Mandailing. Kesemua 9 marga tulin di atas telah diperakui dan disahkan oleh keputusan Mahkamah Tertinggi Folks Road Batavia pada tahun 1926 serta dinyatakan dengan jelas di dalam surat penyataan oleh Majlis Sidang 14 Kepala Kuria yang merupakan keturunan dari raja-raja Panusunan di Mandailing Godang di Tanah Besar Sumatera. Keputusan ini kemudiannya diperakui, disahkan, diaktakan serta diwartakan oleh kerajaan Indonesia.

Mana-mana pihak yang cuba menafikan kesahihan 9 marga Mandailing di atas, maka ia bererti mereka akan menghadapi dan menentang keputusan Mahkamah Tertinggi Folks Road Batavia pada tahun 1926 dan surat penyataan oleh Majlis Sidang 14 Kepala Kuria yang merupakan keturunan dari raja-raja Panusunan di Mandailing Godang di Tanah Besar Sumatera.

Artikel ini dicopy dari Opung Google.

0 komentar:

Posting Komentar

Silahkan Tinggalkan Komentar Anda,Kritik Dan Saranya Sangat Ber Arti

◄ Posting Baru Posting Lama ►
 

Copyright © 2012. MAHKOTA CAHAYA - All Rights Reserved B-Seo Versi 4 by Blog Bamz